Wednesday 19 October 2011

Agama VS Adat Melayu


Semalam kesopanan mendidik perbualan kami di atas dasar perbezaan pendapat daripada amalan-amalan ibadah. Bagi saya yang paling garang di bahaskan ialah soal TAHLIL (kenduri arwah). Ternyata dalam perkara ini saya menpunyai pendapat yang agak berbeza dengan teman-teman yang lain - pun bergitu saya menghormati segala bentuk pandangan selagi tiada berlaku kezaliman ke atas agama dimana kezaliman itu boleh dinilai dengan akal yang waras dan cergas. Sebenarnya terlalu banyak saya ingin sampaikan disini namun demikian apakan daya kudrat yang lemah tidak memberikan kesempatan waktu untuk menulisnya kerana masih terlalu banyak perkara yang memerlukan Masa (perhatiaan yang lebih kursus). Apa-pun saya sentiasa mendoakan semoga Allah S.W.T merahmati segala bentuk pandangan dalam soal di atas kerana yang kita cari bukan KALAH atau MENANG yang kita dabarkan adalah REDHA ALLAH S.W.T Dunia Akhirat. Saya tinggalkan dengan memetik pandangan dari Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

(Setiap insan –setelah mempelajari hujah dan dalil- hendaklah berpegang dengan pendapat yang dia yakini paling diredhai Allah. Ini kerana setiap kita akan menjawab untuk diri sendiri di hadapan Allah Azza wa Jalla atas jalan yang dipilih. Tiada siapa yang dapat menolong, melainkan keikhlasan kita dalam beragama. Tanda keikhlasan itu, seseorang memilih apa yang dia yakin –berdasarkan ilmu yang dipelajari- bahawa itulah yang Allah mahu dalam beragama. Bukan atas emosi, bukan atas fanatik. Sebaliknya, atas ikhlas dan yakin.

Selepas itu, kita akur nanti akan ada perbezaan. Kita hormati pilihan setiap saudara muslim kita. Dengan syarat, ianya dalam lingkaran ilmu. Soal keikhlasan, niat dan hasrat setiap kita hanya Allah Yang Maha Tahu. Kita tidak dapat menilai apa yang terselit dan berselindung dalam dada orang lain. Hakikat batin setiap insan menjadi rahsia Allah yang kita tiada ruang untuk kita masuk campur mengenainya.

Maka, tiada siapa dapat memaksa orang lain mengikut pandangannya atau ulama pilihannya. Entah berapa ribu para ilmuwan sepanjang sejarah ilmu dalam Islam ini yang telah melahirkan pelbagai pendapat. Mereka semua itu pun di bawah lembayung Ahlus Sunnah wal Jamaah. Setiap mereka telah berhujah dan berbeza pandangan. Kita ini menuruti rangkaian sejarah yang sama. Memilih dan memberikan pendapat. Tujuannya hanya satu; mencari keredhaan Allah dan memilih jalan dalam beragama yang diyakini memenuhi kehendak Allah dan rasulNya. Tiada siapa boleh berkeras kuasa ke atas orang lain dalam persoalan ilmu, melainkan sekadar berbicara dengan hujah dan alasan yang dia yakini. Kemudian, dia patut berkata seperti al-Imam as-Syafi’i r.a. (wafat 204H) yang menyebut:

“Pendapatku betul, ada kemungkinan salah. Pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul”.

Demikian zuhud dan waraknya imam yang agung itu. Bukan seperti sesetengah, pendapatku betul, pendapat orang lain sesat dan terroris!

Maka, Allah jua Yang Maha Mengetahui segalanya. Hanya yang boleh kita lakukan ialah seperti apa yang Allah firmankan (maksudnya):

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125). 

Justeru, kita hormati setiap yang berjasa. Kita berterima kasih kepada sumbangannya. Kita sayang mereka kerana Allah. Itu semua tidaklah bererti menghalang kita memberikan pandangan yang berbeza dan pendapat yang berlainan atas asas ilmu pengetahuan.)

No comments:

Post a Comment